PERENANG dari China, Pan Zhanle menikmati detik mengagumkan selepas memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam acara 100 meter (m) gaya bebas di Sukan Olimpik Paris, awal pagi tadi.
Ia pingat emas pertama China di kolam renang setakat ini. Zhanle mencatat 46.40 saat (s) mengatasi rekod dunia 46.80s yang dilakukannya pada Februari lalu di Doha.
Kemenangan Zhanle melonjakkan kembali semangat China yang berdepan kekecewaan di kolam renang setakat ini.
“Saya sangat terkejut dapat memecahkan rekod, ia detik mengagumkan,” kata Zhanle yang mara ke final dengan 0.06s dan tersingkir dalam acara saringan 200m gaya bebas.
“China semakin meningkat langkah demi langkah. Memecahkan rekod ini adalah langkah kecil dalam arah yang betul.”
Sementara itu, ia keputusan mengecewakan buat Chalmers yang meraih perak di Tokyo dan berharap dapat merampas semula emas lapan tahun selepas menang di Brazil.
“Anda lihat di Rio dan saya fikir saya sangat muda dan mentah serta tak tahu apa maknanya menjadi Olimpian atau juara Olimpian,” katanya.
“Lapan tahun kemudian, ia sangat bermakna dapat berada di atas podium dan menerima pingat perak.”
Zhanle perenang pertama China memegang rekod dunia acara ini dan kini yang pertama meraih emas acara riben biru sukan renang.
Manakala gangsa adalah pingat kedua untuk Popovici yang berusia 19 tahun selepas meraih emas 200m gaya bebas.