SEBALIK kejayaan PDRM FC mengikat Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), ketiadaan tonggak menyerang, Ifedayo Olusegun tetap menimbulkan persoalan.
Manakah tidak, penyerang berasal dari Nigeria itu sering ‘tidak hadir’ pada perlawanan penting menentang skuad Harimau Selatan.
Menepis semua spekulasi yang mungkin bertiup di media sosial, ketua jurulatih PDRM, P Maniam berkata, tonggak penyerang The Cops itu mengadu demam panas.
“Semalam (kelmarin) dia beritahu saya demam panas… saya hubunginya hari ini (semalam) tetapi dia tak menjawab panggilan dan pada 1.30 petang (semalam) dia hubungi saya kembali beritahu dia demam, badan dia sakit, kita fahamlah.
“Dua tiga hari sebelum perlawanan lagi saya sudah tahu Ifedayo demam, jadi kita ambil peluang ini untuk menurun Shahrel Fikri dalam kesebelasan.
“Dia cukup efektif di sayap kanan, bermain cemerlang dan berjaya menjaringkan gol.
“Jadi pada perlawanan ini, kita tahu bahawa biarpun Ifedayo tak main, kita ada pemain lain boleh menggantikannya, Bruno Suzuki dan Shahrel memiliki kualiti itu,” kata Maniam, selepas tamat perlawanan menentang JDT, yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Keputusan positif pada perlawanan itu dianggap Maniam turut dibantu faktor rehat panjang untuk PDRM yang tidak beraksi selama kira-kira dua minggu.
“Secara keseluruhan saya melihat pemain JDT agak keletihan, itu apa yang saya rasa dan mereka tidak boleh memaksa diri ke tahap maksimum.
“Mereka bermain banyak perlawanan tetapi tetap memiliki banyak peluang menjaringkan gol… mereka tetap sebuah pasukan yang bagus cuma tidak menjaringkan gol pada hari ini (semalam).”
Beliau mengakui, pemain layak meraikan pencapaian itu namun tidak akan mendapat rehat panjang kerana perlu bersiap sedia menghadapi Negeri Sembilan 11 Ogos ini.