PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah menyatakan bahawa mindset yang sama dan ada dalam  diri mereka merupakan kunci kejayaan paa aksi suku akhir, Khamis.

MenurutPearly, mereka kerap mengingatkan antara satu sama lain untuk kekal tenang dan fokus terhadap setiap mata yang dikutip dan mindset itu membuahkan hasil untuk mereka berdua.

“Sepanjang malam tadi kami tidak dapat tidur dengan baik kerana memikirkan perlawanan hari ini merupakan satu perlawanan yang cukup penting.

“Namun kami mempunyai minda yang sama iaitu masuk gelanggang dan kekal tenang dan fokus terhadap setiap mata dikutip, kami ingatkan sesama kami untuk tenang dan fokus dan ia membuahkan hasil,” kata Pearly.

Bagi Thinaah pula, kejayaan mereka sebagai beregu wanita negara yang pertama untuk melayakkan diri ke separuh akhir dalam temasya sukan Olimpik sebagai satu gelaran.

“Orang ramai akan melabelkan kejayaan kami sebagai beregu wanita pertama yang berjaya ke separuh akhir tetapi kami bangga antara satu sama lain.

“Sememangnya kami mahu fokus dalam perlawanan ini (tadi) dan tidak terfikir dengan hasilnya selepas itu, kami cuma fikirkan mengenai proses yang dilalui jadi kami nikmati setiap detik itu.

“Sokongan daripada Pearly dan para jurulatih sememangnya membantu kami kekal bermotivasi. Kami akan mempersiapkan diri untuk perlawanan seterusnya,” kata Thinaah.

Dalam perlawanan suku akhir tadi, beregu wanita negara itu berjaya menumpaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dengan keputusan 21-12, 21-13.

Pearly -Thinaah sekali lagi akan bertemu dengan beregu dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dalam aksi separuh akhir pada Jumaat jam 2.30 petang.