KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac memuji kesungguhan tonggak pasukan, Brendan Gan yang memberikan aksi cemerlang selepas pulih daripada kecederaan.

Selepas diketepikan dalam dua perlawanan terdahulu, Brendan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama berdepan Sabah FC sekali gus membuktikan kemampuannya di atas padang meskipun baru sahaja pulih.

Kuljanac melihat anak buahnya itu sentiasa positif dan bersungguh-sungguh dalam memastikan fasa pemulihan berjalan dengan lancar kerana ingin segera beraksi.

Bahkan, beliau berpuas hati dengan impak yang diberikan oleh bekas pemain Selangor FC itu untuk membantu pasukan memenangi perlawanan semalam menewaskan anak buah Datuk Ong Kim Swee dengan keputusan 3-0.

“Saya gembira dia telah kembali dan cukup cergas apabila beraksi sebentar tadi (semalam).

“Dia merupakan pemain yang sangat penting untuk pasukan ini dan telah bermain dengan cukup baik apabila dah kembali dengan rakan pemain lain.

“Saya pun sentiasa berkomunikasi dengan Brendan dan dia sendiri yang cakap, dia dah bersedia untuk beraksi, jadi saya tahu dia memang betul-betul dah sedia.

“Brendan tahu macam mana nak jaga diri dia dan saya harap pemain-pemain muda lain boleh ambil contoh dengan kesungguhan dia berusaha untuk pulih dengan cepat,” jelasnya.

Kuala Lumpur setakat ini masih belum tewas selepas empat perlawanan untuk berada di kedudukan ketiga Liga Super.

Namun, Kuljanac memberi bayangan aksi seterusnya menentang Terengganu FC pada minggu hadapan pastinya lebih sukar dan perlu merangka perancangan yang lebih sempurna.

“Kita ada lebih kurang 10 hari untuk buat persiapan dan saya kena bersedia dengan perancangan lebih serius kerana Terengganu FC adalah kelab yang bagus.

“Tempoh hari mereka menang ke atas Negeri Sembilan FC, dan sekarang mata kami adalah sama iaitu 11 mata, jadi ini bukan senang,” tambahnya.