KEKALAHAN yang menyakitkan namun beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sudah menampilkan persembahan terbaik mereka sepanjang kali pertama beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Mana mungkin melangkah ke separuh akhir, akan ada mana-mana pemain yang mahu tewas, namun hakikat sebuah semangat kesukanan, perlu menerima kekalahan sebaik mungkin sebagaimana ketika meraikan kemenangan.

Pearly Tan-M Thinaah kecewa dengan kekalahan di separuh akhir, saling menenangkan perasaan. | FOTO MSN

Kekalahan di separuh akhir beregu wanita kepada pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, bermakna peluang untuk mereka memburu pingat emas berakhir, namun mereka masih mampu untuk mendapatkan gangsa.

“Sebelum turun ke gelanggang, kami tak fikir apa sangat kerana mahu beraksi dengan baik dan perkara ini kami tidak menyesalinya,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum menangis berikutan kecewa dengan kekalahan itu.

Pearly-Thinaah mempamerkan semangat melawan tinggi, berjaya mengajak Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (China) beraksi ke rubber game. | FOTO MSN

Pada perlawanan itu, gandingan negara tunduk 12-21 pada set pertama, bangkit memenangi set kedua 21-18 sebelum tunduk 15-21 dalam aksi yang berlangsung selama 74 minit, di Porte de La Chapelle Arena.

Pearly-Thinaah mempamerkan peningkatan berbanding pertemuan pertama dengan Qing Chen-Jia Fan di peringkat kumpulan A, yang menyaksikan mereka tunduk 17-21, 20-22.

“Pada set kedua, kami memang kerana pastinya kami bermati-matian kerana tidak ada apa untuk kami kesalkan.

“Perbezaannya, kemenangan ini memihak mereka kerana mereka cukup kuat dan mental mereka jauh lebih baik dan agresif,” kata Pearly.

Sebahagian penyokong Malaysia yang memenuhi Porte de La Chapelle Arena.

Meskipun gagal ke final, Pearly-Thinaah sudah melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia melangkah hingga ke separuh akhir pada Temasya Olimpik.

Justeru, Pearly-Thinaah masih berpeluang memburu pingat apabila dijadual menentang pemain Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam perebutan gangsa, selepas pasangan nombor empat dunia itu tunduk kepada Liu Shen Shu-Tan Ning dari China, pada satu lagi perlawanan separuh akhir.