DUA nada berbeza dari jurulatih tuan rumah, Sarawak United FC dan Terengganu FC dalam sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan Sarawak United tewas 0-2 kepada Terengganu FC di Stadium Negeri, Kuching.
B.Sathianathan jelas kecewa apabila barisan pemainnya gagal mengikut taktikal yang diarahkan sebaliknya bermain dalam tekanan meskipun berhadapan lawan yang bermain 10 pemain sepanjang babak kedua.
Turun tanpa tiga tonggak akibat positif Covid-19 dan pemain import yang masih belum cergas sepenuhnya, dia sudah menjangkakan kesukaran apabila berhadapan dengan Terengganu FC.
“Saya kecewa dengan persembahan pada 20 minit terakhir. Kita terburu-buru untuk menghantar bola dan akhirnya bergelut dengan bola. Saya akan menegur para pemain supaya bermain mengikut taktik dan bukannya ikut sesuka hati,” ujar Sathianathan selepas perlawanan.
Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain nyata berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya apabila berjaya mencatat kemenangan sulung dalam Liga Super musim ini.
“Memang kita menanti untuk mendapat mata pertama. Jadi malam ini kita merealisasikan tiga mata. Saya berterima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan usaha dan semangat untuk mencari kemenangan pertama sepanjang 90 minit walaupun pun hanya dengan 10 pemain.
“Apa yang penting keputusan menang dengan cara kita bermain,” jelasnya.
Nafuzi juga enggan mengulas lanjut tentang insiden kad merah ke atas Kpah Sherman sebaliknya hanya fokus kepada usaha para pemain membawa pulang tiga mata.
Terengganu FC akan berhadapan dengan Selangor FC di Kuala Terengganu selepas ini manakala Sarawak United akan berkunjung ke Petaling Jaya bertemu PJ City pada hujung minggu nanti.