SATU persatu atlet Road to Gold gugur, di Porte de La Chapelle Arena, sekali gus tiada lagi atlet badminton di bawah program itu, yang berpeluang membawa pulang pingat emas pertama negara di pentas OIimpik di Paris.
Selepas kekalahan Pearly Tan-M.Thinaah, aksi separuh akhir beregu lelaki yang menyaksikan pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan gandingan No.1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, turut menerima nasib sama, tewas dalam rubber game.
Bagi Aaron, dia dan pasangannya telah menampilkan prestasi terbaik untuk menukar keputusan itu namun tidak kesampaian.
“Kami berdua telah buat yang terbaik tetapi ada masanya keputusan tidak memihak.
“Ya kami tidak menang perlawanan ini tetapi masih ada pingat gangsa untuk kami buru, mari dapatkan pingat untuk dibawa pulang,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sejurus selepas tamat perlawanan.
Tambah Aaron, mereka mempamerkan corak permainan yang mereka mahukan tetapi kurang kemas hingga melakukan unforced error kerana tergesa-gesa mahu mematikan bola.
Sementara itu, Wooi Yik mengakui keyakinan dan konstensi mengembalikan pukulan yang baik, memihak pasangan China sehingga pihak lawan menang 21-15, 15-21, 21-17 dalam masa 68 minit.
“Setiap mata dikira dan kemi lebih fokus kepada tiga pukulan pertama, kita lihat siapa lebih yakin.
“Kami juga menggunakan pelbagai strategi tetapi pengakhirannya tidak seperti kita harapkan,” kata Wooi Yik.
Justeru, Aaron-Wooi Yik berpeluang mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Ahad.
Untuk rekod, tiga beregu dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chen Tang jie-Toh Ee Wei, Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik berada dalam program RTG.