SELEPAS memenangi pingat emas acara beregu campuran badminton Olimpik Paris, pemain wanita China, Huang Yaqiong dikejutkan dengan lamaran oleh teman lelakinya di luar gelanggang.

Huang dan Zheng Siwei menewaskan Kim Won-ho dan Jeong Na-eun dari Korea Selatan dengan keputusan 21-8, 21-11 dalam masa hanya 41 minit.

Selepas menerima pingat mereka di La Chapelle Arena dan turun dari podium, mereka mengelilingi stadium bagi meraikan kemenangan.

Bagaimanapun kegembiraan itu dikejutkan dengan tindakan teman lelaki Huang, Liu Yuchen, juga pemain badminton yang memenangi pingat perak acara beregu lelaki di Tokyo tiga tahun lalu, tetapi tersingkir di peringkat kumpulan di Paris.

Liu menghadiahkan Huang sejambak bunga sebelum mengeluarkan cincin dan melutut untuk melamar, diiringi sorakan gemuruh penyokong China yang memenuhi arena berkenaan.

Huang berkata lamaran itu adalah sangat mengejutkan.

Huang Yaqiong memenangi pingat emas menerusi acara badminton beregu campuran

“Hari ini (semalam) saya menjadi juara Olimpik dan saya bertunang. Saya rasa cincin ini sangat sesuai dengan jari saya,” kata Huang sambil menunjukkan cincinnya kepada wartawan.

Lamaran di temasya Olimpik Paris turut membabitkan atlet bola baling lelaki Argentina, Pablo Simonet yang melamar pemain hoki negaranya, Maria Campoy di Perkampungan Sukan sebelum temasya bermula.