CABARAN jaguh pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi di Sukan Olimpik Paris berakhir selepas menduduki tempat kesembilan saringan kedua, pusingan pertama di Stade de France.

Catatan 10.45 saat (s) yang dilakukannya itu, sekali gus menafikan hasrat awal pelari berusia 20 tahun terbabit, untuk melangkah ke separuh akhir acara 100 meter (m).

Berlari di lorong kelapan, bersama empat pelari yang memiliki catatan bawah 10s, sememangnya Azeem bukan pencabar terkuat dalam saringan kedua itu, namun hasrat melihat sekurang-kurangnya penuntut Universiti Auburn itu menghampiri rekod kebangsaan 10.09s, meleset.

Malah, catatannya itu 0.02s lebih perlahan berbanding larian di pusingan kelayakan.

Terdahulu, saingan kedua pusingan pertama itu dimenangi pelari Kenya, Ferdinand Omanyala yang merakam 10.08s, Chituru Ali dari Itali 10.12s (kedua) dan Joshua Hartmann dari Jerman 10.16s (ketiga), untuk membolehkan mereka mara ke pusingan berikutnya.

Terdahulu, Azeem yang bermula dari lorong ketiga saringan pertama pusingan kelayakan, muncul pelari kedua pantas dengan masa 10.42s, untuk melayakkannya berlari di pusingan pertama.

Untuk rekod, masa terbaik Azeem musim ini ialah 10.36s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Gainesville, Florida Mei lalu.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s memecahkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 itu layak menerusi tiket wild card sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100m lelaki sejak kali terakhir dilakukan legenda Sarawak, Watson Nyambek pada edisi Sydney 2000.

Watson antara atlet yang membuat dua penampilan di Olimpik dalam acara sama termasuk edisi Atlanta 1996 sementara seorang lagi bekas jaguh pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi Athens 2004.