HASRAT Pearly Tan-M Thinaah melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama negara membawa pulang pingat dari bumi Paris tidak kesampaian.

Ia selepas gandingan negara itu tewas di tangan beregu nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-11, 21-11 pada perlawanan penentuan pingat gangsa yang berlangsung selama 43 minit itu.

Pearly Tan-M Thinaah telah mempamerkan prestasi cemerlang sejak pusingan awal.| FOTO MSN

Badi kekalahan di tangan gandingan Jepun itu berterusan untuk Pearly-Thinaah apabila mereka hanya mampu melakar satu kemenangan daripada 11 pertemuan antara mereka, iaitu ketika di Terbuka Perancis 2022.

Pada perlawanan penentuan gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah jelas kurang selesa dengan corak permainan mereka apabila pada satu ketika ketinggalan 4-11.

Gandingan negara masih belum mampu memetik gangsa di Paris.| FOTO MSN

Gandingan negara itu cuba merapatkan jurang selepas itu namun lawan mereka kekal fokus sebelum memenangi set pertama.

Sedar memerlukan kemenangan di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, Pearly-Thinaah bagaimanapun masih bergelut dengan rentak permainan mereka sebelum akur tewas di tangan gandingan Jepun itu.