“SELANGOR FC layak ke pentas akhir Piala FA 2024 bukan kerana tuah, tetapi kerana memang kami melakukan banyak kesilapan.”
Itu merupakan kenyataaan yang jelas melihatkan kekecewaan pengendali pasukan Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner yang terpaksa menerima kekalahan 1-4 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, malam Sabtu.
Menurut beliau, beberapa kesilapan telah dilakukan oleh pemain terutama menerusi barisan pertahanan yang masih culas di hadapan gawang gol sendiri.
Dalam tiga aksi terakhir Terengganu FC, ianya cukup memberi bukti kelemahan barisan pertahanan Sang Penyu apabila gawang gol mereka sudah dibolosi sebanyak 10 jaringan.
“Tiada apa yang boleh saya komen tentang aksi pada hari ini, tetapi barisan pertahanan, jika kita lihat kita dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan.
“Empat gol berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), dua gol menentang Negeri Sembilan dan empat gol lagi hari ini (Sabtu). Ini sangat melampau,” tegas pengendali kelahiran Croatia itu.
Dalam perkembangan sama, Tomislav yang ditemui selepas perlawanan itu turut mengakui bahawa Selangor berjaya mempamerkan aksi yang baik pada malam Sabtu, dan ia melayakkan mereka ke pentas final Piala FA 2024.
”Tahniah kepada Selangor, mereka sememangnya layak untuk mara ke final. Agak sukar untuk bermain dengan dibolosi di minit awal permainan,” katanya.