BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tetap berbangga dengan pencapaian keseluruhan mereka biarpun tidak berjaya memenangi pulang sebarang pingat dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasangan negara itu terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa selepas tunduk di tangan gandingan Jepun, Nami Matsuyama – Chiharu Shida 21-11, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena pada Sabtu.
Pearly mengakui dia sangat kecewa tetapi secara keseluruhan dia berbangga dengan pencapaian yang dilakukan bersama-sama Thinaah dalam debut mereka di Olimpik.
“Sudah tentu kami sangat kecewa, kami memang mahukan gangsa. Namun, dalam perlawanan hari ini kami tidak dapat melakukan apa-apa kerana mereka beri tekanan yang hebat kepada kami.
“Kami cuba tukar strategi permainan untuk dapatkan mata daripada mereka tetapi ia sangat sukar untuk kami. Mereka melakukan persiapan dan bermain dengan baik.
“Apa pun, kami tetap berbangga dengan pencapaian kami di sini. Sebelum temasya ini, kami bergelut dengan prestasi tidak menentu dan tidak sangka kami boleh bermain hingga hari terakhir,” kata Pearly selepas perlawanan.
Sementara itu, Thinaah pula berkata pencapaian mereka pada Olimpik kali ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pemain muda negara untuk percaya pada diri mereka dan berikan yang terbaik buat negara.
“Kami harap ia dapat beri inspirasi kepada pemain muda yang mana tiada apa yang mustahil. Kami sudah buktikannya dan akan ambil yang positif dan tidak akan berputus asa.
“Ramai orang tidak percaya dengan kemampuan kami sejak dari awal tetapi apabila kami sudah sampai ke tahap ini, kami juga harus beri pujian kepada diri kami sendiri,” katanya.
Pearly-Thinaah mencipta memori terindah mereka di Paris apabila membuktikan tiada apa yang mustahil selepas berjaya melepasi halangan ‘kumpulan maut’ untuk akhirnya mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama layak ke separuh akhir Olimpik.