PELARI dari Saint Lucia, Julien Alfred muncul ratu pecut Sukan Olimpik Paris 2024 apabila apabila memenangi emas acara 100 meter wanita, sekali gus melakar sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negaranya di temasya itu.

Pelari 23 tahun itu membuat kejutan di Stade de France apabila menewaskan juara dunia dari Amerika Syarikat (AS), Sha’Carri Richardson dengan catatan 10.72 saat.

Alfred bermula baik dengan mendahului perlumbaan dari awal dan melintasi garisan penamat di depan Richardson (10.87s), yang meraih perak dan seorang lagi pelari AS, Melissa Jefferson (10.92s).

Richardson sebelum ini dijangka akan menjadi pelari AS pertama memenangi acara 100m Olimpik sejak Gail Devers pada tahun 1996.

Bagaimanapun impian pelari dari Texas itu berkecai apabila dia gagal mengatasi kepantasan Alfred.

“Ketika membesar, saya hanya berkaki ayam berlari di padang, dengan pakaian sekolah.

“Kami tidak mempunyai kemudahan mencukupi. Stadium tidak diperbaiki. Saya sangat berharap pingat emas ini akan membantu generasi muda dan St Lucia akan membina stadium baharu bagi memajukan sukan ini,” kata Alfred.

Emas diraih Alfred adalah pingat pertama St Lucia di Olimpik. Negara berkenaan hanya mula bertanding di Olimpik pada tahun 1996.