SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) menang bergaya 9-2 keatas Kuala Lumpur City sekali gus bergelar juara Liga Premier Futsal Kebangsaan Divisyen 1 2024 buat kali pertama sejak pasukan itu ditubuhkan pada 2023.

Kejayaan kali pertama itu juga terhasil dengan liga masih berbaki satu perlawanan dan JDT sudah tidak mampu dikejar pencabar terdekat, Selangor yang terpaksa akur untuk berada di tempat kedua.

Tambah manis, kejayaan bergelar juara itu dapat dilakukan dihadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Bandaraya Pasir Gudang yang menyaksikan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia berjaya memadam kekecewaan musim lalu.

JDT Futsal mempamerkan aksi hampir sempurna musim ini apabila sudah meraih 12 kemenangan dan hanya tewas sekali dalam 13 perlawanan dan sudah menjaringkan 69 gol dan hanya bolos 25 gol setakat ini.

Diperkuat beberapa pemain kebangsaan serta pemain import yang berpengalaman, JDT Futsal tidak menoleh kebelakang dan terus memastikan kejayaan menjadi milik mereka musim ini dan kini tumpuan akan terarah kepada Malaysia Futsal Cup yang akan berlangsung selepas ini.

Pemain-pemain JDT bersama barisan kejurulatihan dan pengurusan dilihat gembira meraikan kejayaan ini yang turut dikongsi penyokong-penyokong yang hadir untuk memulakan penguasaan mereka dalam arena futsal tanah air.

Pemain dan kakitangan meraikan kejayaan JDT Futsal muncul juara

Berbaki satu perlawanan, JDT akan menjulang piala kejuaraan MPFL di tempat sendiri apabila berhadapan Gombak TOT United yang dijangka diadakan secara gilang gemilang.