HANYA 11 mata sahaja lagi sebelum peminat badminton kembali melihat Carolina Marin kembali ke final Perseorangan Wanita selepas Temasya Rio 2016 sebelum tragedi menyayat hati melanda semua penonton di La Chapelle Arena, Paris pada Sabtu.

Marin yang sedang selesa mendahului lawan dari China, He Bingjiao dan sudah memenangi set pertama 21-14, mengalami kecederaan lutut yang menyaksikan dia terpaksa menarik diri dan melepaskan peluang layak ke final Olimpik kali ini.

Ketika sedang beraksi dengan baik, dia mendarat dengan agak aneh di lutut yang baharu pulih dari kecederaan yang menyaksikan dia meraung kesakitan dengan pasukannya segera mendapatkannya di tepi gelanggang.

Keadaan di arena menjadi sunyi seketika sebelum para penyokong mula melaungkan namanya untuk memberikan semangat buatnya meneruskan perlawanan seterusnya layak ke akhir.

Marin cuba meneruskan perlawanan tetapi selepas kehilangan dua mata, dia sedar penglibatannya di Olimpik sudah berakhir dengan dia kelihatan menangis sambil menumbuk gelanggang menunjukkan tanda kecewa.

Dia bangun tanpa mahu menggunakan kerusi roda dan semua penonton memberikan tepukan sanjung kepadanya dengan ramai yang mengalirkan air mata dalam suasana yang penuh dengan drama dan emosi di Paris.

Penarikan dirinya itu menyaksikan He Bingjiao layak ke final untuk bertemu pilihan utama, An Se Young dari Republik Korea pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada Isnin.