MALAYSIA berjaya mendapat pingat pertama di Temasya Olimpik Paris 2024 selepas beregu negera, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya memenangi gangsa selepas menewaskan beregu Denmark Kim Astrup-Anders Rasmussen dalam di La Chapelle Arena.

Aaron-Wooi Yik menang 16-21, 22-20, 21-19 dan memberikan keceriaan buat kem badminton negara tatkala melihat Pearly-Thinaah tewas di penentuan gangsa Beregu Wanita manakala Lee Zii Jia dihampakan Kunlavut Vitidsarn dalam semi final Perseorangan Lelaki.

Pingat gangsa pertama kontinjen negara itu hadir dalam keadaan paling dramatik apabila Aaron-Wooi Yik bangkit ketika hampir tewas di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kredit foto: Majlis Sukan Negara

Selepas tewas 21-16 di set pertama, Aaron-Wooi Yik cuba bangkit pada set kedua dengan permainan yang lebih tersusun namun dilihat masih tidak berjaya mematahkan serangan duo Denmark itu sehingga ketinggalan 16-20.

Entah apa yang merasuki pasangan negara, mereka berjaya bangkit mata demi mata sehingga 20-20 dan menamatkan set kedua dengan 22-20 sekaligus menghidupkan semula peluang memenangi pingat.

Momentum cemerlang itu diteruskan pada set ketiga di mana mereka terus mendahului sebelum tersangkut di mata ke-17 dengan pasangan Denmark kembali mengejar dan menyamakan kedudukan untuk menambah debaran penyokong.

Kredit foto: Majlis Sukan Negara

Aaron-Wooi Yik membuktikan mereka mempunyai mental yang lebih kuat apabila mengasak bertubi-tubi untuk menang 21-19 sekaligus berjaya meraih gangsa yang disambut gembira oleh para penyokong Malaysia di arena.

Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya mengulangi pencapaian tiga tahun lalu di Olimpik Tokyo 2020 di mana mereka turut memenangi pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Indonesia.