JURULATIH Melaka United, Asri Ninggal bersyukur dan gembira dengan keputusan perlawanan yang menyaksikan skuadnya berjaya mengikat barisan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat
Asri turut memberikan kredit kepada para pemainnya yang tampil berdisiplin serta menunjukkan sikap yang bagus selama 90 minit untuk mengekang asakan JDT.
Dia juga gembira dengan aksi pemain-pemain yang diberikan kesempatan bermain pada perlawanan ini dan berharap keputusan ini akan menjadi rangsangan kepada Melaka United untuk menghadapi perlawanan akan datang.
“Pertama sekali saya ingin ucapkan syukur kerana perlawanan malam ini bukan mudah. Di atas kertas, JDT sememangnya lebih baik dengan kualiti yang ada pada pemainnya tetapi kredit kepada pemain saya yang bermain penuh disiplin dan menunjukkan sikap yang bagus sepanjang aksi.
“Kita tahu JDT bagus dalam penguasaan bola dan kita berjaya menutup ruang berdasarkan analisis video yang telah dilakukan. Para pemain juga mahu membuktikan kepada para penyokong yang hadir beramai-ramai ke stadium yang mereka boleh bermain bola.
“Ianya bagaikan hikmah apabila pemain yang diberi peluang bermain menunjukkan kesungguhan sekaligus membuktikan yang kita tidak perlu bergantung pada pemain yang sama dan saya berharap kami dapat terapkan semangat seperti ini untuk bagi saingan sengit dalam perlawanan selepas ini.
“Keputusan seri dengan JDT ini diharapkan dapat memberikan rangsangan kepada para pemain saya setelah tewas kepada Sarawak United sebelum ini,” jelas Asri dalam sidang media selepas perlawanan.
Ketiadaan Bergson Da Silva yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan juga dilihat Asri sebagai menggangu corak serangan JDT namun dia berbangga dan gembira dengan keputusan seri ini.