KEMENANGAN 3-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC membuktikan bahawa skuad gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya layak beraksi di pentas final Piala FA 2024 nanti.

Pertemuan antara JDT dan Selangor FC nanti pastinya menjadi satu detik yang dinantikan oleh penyokong-penyokong Selatan dan Lembah Klang, bahkan ‘dream final‘ yang ditunggu oleh Ketua jurulatih Hector Bidoglio.

Tanpa menidakkan perkara berkenaan, pengendali JDT itu turut menegaskan bahawa pasukannya perlu bekerja lebih keras pada saingan akhir sambil mengekalkan fokus untuk menjulang trofi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

“Ya, memang benar aksi final kali ini merupakan ‘dream final’ buat semua tetapi perlu ingat bahawa segalanya akan ditentukan dalam tempoh 90 minit perlawanan nanti. Kita perlu kekal fokus selain perlu menambah baik mutu permainan kita.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mencemar duli ke stadium pada malam Ahad.

“Tambahan pula, setiap aksi final sememangnya akan sukar kerana dalam masa sama kita perlu memperbaiki kekurangan dan memastikan kesilapan pernah dibuat tidak terjadi lagi.

“Bagaimanapun, bagi saya adalah aksi final nanti sangat penting dan pemain hanya perlu fokus. Secara keseluruhan, kami telah bersedia untuk beraksi di final nanti,” menurut Bidoglio selepas tamat perlawanan malam Ahad.

Harimau Selatan berjaya membaham Sang Kenari dengan mudah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA dengan keputusan 3-0, agregat 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Bagaimanapun, Bidoglio turut mengakui dan melihat barisan anak buah Nafuzi Zain yang tidak henti mempamerkan usaha berhempas pulas untuk cuba merobek gawang gol JDT, namun akhirnya tidak diberi peluang oleh pasukannya.