MESKIPUN gagal ke final dan membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan pingat gangsa yang dimenangi Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai cukup layak buat beregu lelaki negara itu.

Menurutnya, gandingan nombor lima dunia itu cukup tenang pada perlawanan penentuan gangsa sekali gus mengulangi pencapaian di Temasya Tokyo 2020.

“Syukur kepada Tuhan… Aaron-Wooi Yik dapat pingat gangsa kali kedua.

“Mereka layak memenanginya kerana perjuangan yang ditunjukkan, selepas tewas set pertama dan ketinggalan 16-20 pad set kedua sebelum bangkit memenangi perlawanan, itu satu keajaiban,” kata Rexy, ketika diminta mengulas mengenai prestasi keseluruhan Aaron-Wooi Yik di Paris.

Menurutnya, pada perlawanan penentuan gangsa yang dimenangi anak didiknya 16-21, 22-20, 21-19 itu turut menyaksikan kedua-duanya kekal tenang meskipun pasangan dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen berada di mata penamat.

“Kemenangan ini amat penting buat Aaron-Wooi Yik, mereka adalah atlet di Top 5 dunia.”

Pasangan Chinese Taipei, Lee Yang-Wang Chi Lin memenangi pingat emas, sekali gus mempertahankan kemasyhuran yang dimenangi di Tokyo, manakala pingat perak dimenangi Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.