TITISAN air mata di venue Sukan Olimpik Paris bukanlah perkara yang asing, baik tangisan kegembiraan mahupun kecewa dek kekalahan.

Namun juraian air mata pemain badminton Sepanyol, Carolina Marin di Porte de la Chapelle Arena paling memilukan, apabila rebah dengan cara tidak sepatutnya, mengakibatkan kecederaan lutut yang melalui pembedahan sebelum ini, merenggut peluangnya ke final perseorangan wanita.

Dia yang berdepan pemain China, He Bingjiao memenangi set pertama 21-14, dan mendahului 10-8 pada set kedua, namun terpaksa menyerahkan kepada pemain lawan.

Sebaik rebah terduduk, kedengaran suara Marin “Oh No” sebelum pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 itu menekup tangan ke mukanya, manakala Bingjiao mengisyaratkan lawannya perlu segera dirawat.

Tidak mahu kecewa membelenggu, Marin bangkit selepas menerima rawatan dan cuba meneruskan permainan namun dia tidak mampu berbuat demikian kerana kesakitan bertambah buruk.

Jurulatih, Fernando Rivas menghampiri Carolina Marin ketika mengalami kecederaan lutut. | FOTO AGENCY

Mendengar tangisan Marin, penonton satu persatu bangun menunjukkan simpati.

Penonton bertepuk tangan memberikan semangat kepada Marin yang dirawat sambil memegang lututnya, sambil jurulatih, Fernando Rivas cuba menenangkan anak didiknya itu.

Menurut Rivas, pada detik itu, Marin berkata kepadanya: “Dia pandang pada saya dan beritahu, sudah hancur.

“Carolina berasa hancur luluh… saya fikir apa yang terjadi terlalu kejam dan tidak adil.

Pemain badminton perseorangan wanita India, PV Sindhu turut merasai kesedihan Carolina Marin.

“Tiada kata-kata untuk kami gambarkan perasaannya, kerana pada tahap permainan terbaik yang ditunjukkan di sepanjang kejohanan ini… sangat sukar.

“Ia tidak adil untuk Carolina kerana dia berhak menamatkan Sukan Olimpik menerusi kemenangan atau kekalahan tetapi perkara lain yang berlaku.”

Peristiwa menimpa Marin itu mendapat perhatian pesaingnya, PV Sindhu dari India.

Sindhu yang tewas tipis pada final Olimpik Rio kepada Marin, amat memahami situasi dihadapi pemain Sepanyol itu.

“Kepada salah seorang pesaing terhebat saya dan rakan yang saya sayang dalam saingan Jelajah Dunia, Carolina Marin… saya menghantar semua tenaga positif di dunia kepada anda. Anda bermain perlawanan yang luar biasa dan aya sangat menyayangi anda!” tulis Sindhu menerusi hantaran Instagram miliknya.