FOTO : FB NICOL DAVID

DATUK Nicol Ann David kagum dengan pencapaian sensasi Lee Zii Jia selepas memenangi pingat gangsa pada Temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Timbalan Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 itu dalam kenyataan di laman sosialnya, berkata sikap pemain perseorangan lelaki negara yang tidak mengalah menuaikan hasil seperti diinginkan.

Satu lagi kebangkitan epik. Pingat gangsa kedua untuk Malaysia. Melihat semangat untuk berjuang hingga  ke akhirnya sentiasa menjadi sebahagian daripada Lee Zii Jia dan dia memberikan segalanya di atas gelanggang.

“Tiada apa yang dapat menghalangnya daripada mendapatkan pingat gangsa ini dan dia berjaya melakukannya,” katanya.

Bekas pemain wanita nombor satu dunia itu menambah, beliau memahami betapa sakitnya apabila tewas di set pertama dan menerima kecaman daripada netizen.

Zii Jia (kanan) membanggakan negara apabila berada di podium Sukan Olimpik Paris.

“Sejak kali pertama saya melihatnya bertanding secara langsung di Sukan SEA, naluri pembunuh itu sentiasa ada dan keberaniannya untuk mencuba. Menyaksikan ketenangannya sepanjang pertandingan adalah sangat berkuasa dan itu datang dengan banyak kerja keras untuk mencapai tahap ini bagi menahan intensiti Sukan Olimpik dan besarnya harapan ke atas dirinya untuk beraksi.

“Sikapnya yang tidak pernah mengalah, bangkit dan mengambil alih permainan sepenuhnya dari set kedua walaupun ketinggalan set pertama dan 8-4 dengan mengenakan permainannya untuk memenangi pingat gangsa. Ini amat luar biasa untuk ditonton dan saya berasa terhormat dapat menyaksikan semuanya,” ujarnya.

Dapatkan emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Juara dunia skuasy lapan kali itu turut berterima kasih kepada Zii Jia kerana membawa begitu banyak kebahagiaan sepanjang menonton perlawanan mereka pada minggu ini.

“Tahniah atas kemenangan yang bersejarah ini dan kami rakyat Malaysia benar-benar bangga dengan anda dan cara anda berjuang dari hati untuk negara kita,” katanya dalam entri tersebut pada Selasa.

Terdahulu, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa.