MALAYSIA diundi untuk berdepan pasukan Filipina dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jali bermula awal September nanti.

Keputusan itu dibuat semasa Majlis Undian Pestabola Merdeka 2024 sekali gus menyaksikan pasukan yang berada di ranking ke-147 bakal menjadi cabaran pertama Harimau Malaya pada 4 September jam 9 malam.

Dalam satu lagi perlawanan, Lebanon dan Tajikistan akan berentap pada jam 4.30 petang (hari sama). Kedua-dua pemenang perlawanan bakal bermain di perlawanan akhir manakala pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih tarikh kejohanan (4 dan 8 September) berdasarkan kalendar antarabangsa Fifa dan mata ranking sudah tentu menjadi rebutan buat keempat-empat pasukan.

Harus diingat, pungutan mata Fifa di Pestabola Merdeka kali ini amat penting buat Malaysia bagi memperbaiki ranking Fifa untuk memasuki ke balang 1 undian Kelayakan Piala Asia 2027.

Kali terakhir Malaysia muncul juara kejohanan ini adalah pada 2013 dimana ketika itu skuad bawah 23 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan pasukan bawah 23 tahun Myanmar.

Untuk tambahan, aksi bersejarah yang akan berlangsung pada 4 dan 8 September depan pastinya menjadi harapan untuk skuad kendalian Pau Marti Vicente merampas trofi juara daripada juara bertahan, Tajikistan.