BELANDA memecahkan rekod dunia mereka dua kali sebelum mempertahankan pingat emas acara pecut berpasukan lelaki awal pagi tadi, manakala Australia turut melaungkan amaran dengan memperbaiki catatan rekod acara kejar-mengejar berpasukan lelaki.

Bintang Belanda, Harrie Lavreysen, Roy van den Berg dan Jeffrey Hoogland membakar trek velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines dengan catatan baharu 40.949 saat manakala Britain meraih perak dan Australia gangsa.

Trio itu sebelumnya memukau penonton dengan catatan rekod baharu dunia 41.191s ketika saringan untuk memperbaiki catatan 41.225s dilakukan mereka di Berlin pada tahun 2020.

“Ia gila,” kata Lavreysen, pelumba pecut terbaik dunia.

“Sudah tentu kami mahu mempertahankan pingat emas tetapi memecahkan rekod dunia dan melakukan catatan di bawah 41s, ia memang terlalu istimewa.

“Trek ini memang amat pantas dan kami terfikir perlu untuk memecahkan rekod jika mahu muncul juara Olimpik.”

Lavreysen turut menjadi pilihan utama dalam acara pecut individu dan harapan meraih pingat dalam keirin.

Ditanya jika dia berasa sukar untuk dikalahkan, dia membalas: “Ia berasa bagus menjelang minggu ini, jadi tunggu dan lihat.”

Trio sama menang emas Olimpik di Tokyo tiga tahun lalu, menamatkan dominasi pasukan Britain diketuai Jason Kenny yang memenangi kejuaraan di Beijing, London dan Rio.

Dalam acara kejar-mengejar berpasukan lelaki, Australia mengalahkan Itali dengan rekod baharu dunia 3:40.730 untuk memadam rekod lama 3:42.032 sekali gus layak ke perlumbaan penentuan emas. Rekod itu dicatat Itali dalam laluan meraih kejuaraan di Tokyo 2020.

Pasukan Australia – Oliver Bleddyn, Sam Welsford, Conor Leahy dan Kelland O’Brien – akan bertemu Britain bagi penentuan pingat emas.