PENGARAH kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky gembira dengan pencapaian yang ditunjukkan pemain-pemain badminton negara di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan bersedia menyambung tugasan ke Olimpik Los Angeles 2028.
Di Paris, tiga beregu di bawah kendaliannya berjaya mempamerkan aksi luar biasa dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya merangkul pingat gangsa manakala Pearly Tan-M Thinaah pula mendapat tempat keempat dengan pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee layak ke suku akhir.
Rexy yang ditemui sejurus tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menyatakan dia akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk hala tuju masa depan sukan itu minggu hadapan.
“Prestasi pemain-pemain dari peringkat kumpulan hingga semi final itu sangat konsisten dan Aaron-Wooi Yik di perlawanan penentuan gangsa membuktikan mental mereka sangat kuat dan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memenangi pingat itu.
“Begitu juga dengan Pearly-Thinaah di mana mereka menunjukkan satu aksi dan prestasi yang cukup bagus di mana sebelum ini sering menjadi kekurangan dalam pasukan ini begitu juga dengan beregu campuran yang pertama kali beraksi di peringkat seperti itu.
“Dalam pertandingan seperti Olimpik ini, kita tidak boleh menuding jari kepada apa-apa masalah seperti kecederaan atau apa jua tetapi ini semua hasil sebagai satu pasukan termasuk bantuan dari semua pihak yang berada di belakang pasukan,” katanya.
Rexy juga menolak sebarang kemungkinan untuk dia kembali ke Indonesia kerana dia masih mempunyai misi bagi menyediakan pasukan untuk merebut pingat emas pada temasya akan datang di Los Angeles.
“Saya tidak terfikir mahu kemana selepas ini dan netizen Indonesia boleh berkata apa sahaja tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab dan bersedia menerima kontrak lanjutan daripada BAM kerana saya juga mempunyai rumah di Malaysia.
“Jika khidmat saya diperlukan untuk Temasya 2028, pada 13 Ogos ini kami bersama pengurusan BAM akan duduk berbincang untuk merancang persiapan Sukan Olimpik 2028 selain menambah baik apa yang sudah dilakukan di Paris.
“Apa yang bagus kita kukuhkan lagi dan apa yang perlu diperbaiki kita akan lakukan. Kita juga ada menerima maklumat dari pasukan Korea serta Jepun untuk apa yang perlu ditambah baik selepas ini,” jelasnya.