ISU deklarasi tidak benar atau pemalsuan dokuman yang tular baru-baru ini membabitkan Kuala Lumpur (KL) City FC telah meraih perhatian daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan badan induk bola sepak itu akan segera melakukan perbincangan bersama pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mencari jalan agar tidak berlaku lagi.
Beliau juga mengakui bahawa masalah pemalsuan dokumen harus diberi perhatian serius dan perlu diatasi segera bagi mengelakkan tindakan tegas oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seterusnya Fifa sendiri.
“Pihak AFC menyarankan untuk kita cakna tentang isu tersebut. Kita juga ada menghantar surat kepada MFL. Kini, MFL dan FIB sendiri sudah menyiasat dan mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Kita hormati kenyataan dan keputusan daripada pihak FIB. Jadi selaku badan induk, kita akan adakan perbincangan bersama MFL dalam masa terdekat,” ujar Noor Azman ketika ditemui pada Selasa.
Baru-baru ini, pasukan Lembah klang iaitu KL City FC disahkan telah menghantar deklarasi tidak benar atau lebih tepat dikatakan sebagai dokumen palsu yang berkaitan pembayaran KWSP dan sebagainya.
Oleh itu, pihak FIB bersetuju mengenakan tindakan dan memberi hukuman seperti pemotongan enam mata, denda RM50,000, membatalkan lesen AFC dan beberapa lagi hukuman yang wajar, atas salah laku pengurusan kelab tersebut.