PENERJUN wanita negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berdepan masalah untuk ke separuh akhir tiga meter papan anjal individu selepas menduduki tempat ke-12 daripada 28 peserta di pusingan kelayakan Olimpik Paris.
Berbekalkan pengalaman di Rio 2016 dan Tokyo 2020, Nur Dhabitah berjaya mengumpul 283.65 mata selepas melakukan lima terjunan dan akan merebut kedudukan 10 terbaik daripada 18 penerjun esok, untuk menempah slot ke final.
Dhabitah mencatat 67.50 mata pada terjunan pertama, diikuti 63 mata (kedua), 54 mata (ketiga) dan 48 mata (keempat) sebelum mengakhiri saingan dengan 51.15 mata pada terjunan terakhir.
Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Chen Yiwen dari China mengungguli saingan dengan catatan 356.40 mata.
Penerjun Australia, Keeney Maddison di tangga kedua dengan 337.5 mata, manakala Vazquez Montano Aranza dari Mexico, ketiga (321.75).
Acara separuh akhir akan berlangsung di Pusat Akuatik Saint-Denis bermula jam 4 petang (waktu Malaysia) esok.