PERENANG sensasi China, Zhang Yufei sedikit bimbang dengan berat bagasinya yang terlebih muatan selepas membawa pulang enam pingat dari sukan renang di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi satu video yang dimuatnaik di Tiktok, atlet manis berusia 26 tahun itu dilihat sedang memikirkan cara bagaimana hendak memuatkan enam pingat yang dimenanginya dan bimbang bayaran yang akan dikenakan kerana bagasi terlebih berat.

Dia juga secara humoris turut bertanya siapakah yang akan membayar kepadanya sekira bagasinya terlebih muatan ketika mendaftar masuk di lapangan terbang untuk pulang ke China.

“Bagasi saya tersangat berat dengan semua pingat yang saya menangi. Saya sudah mula bimbang apabila mendapat pingat kedua kerana kotaknya yang besar menyebabkan beg saya semakin penuh. Siapa yang akan membayar lebihan muatan ini,” katanya dalam video berdurasi 15 saat itu.

Meskipun gagal mendapatkan pingat emas pada temasya kali ini, namun Yufei tetap cemerlang di kolam renang dengan satu pingat perak dan lima pingat gangsa untuk membantu Kontinjen China meraih 12 pingat emas keseluruhan untuk acara renang.

Sebagai rekod, Yufei telah memenangi keseluruhan 10 pingat emas dalam dua penampilannya di Olimpik dengan dua pingat emas dan perak di Temasya Tokyo 2020 dan enam lagi pingat di Temasya Paris 2024 untuk muncul salah satu perenang terhebat pernah disaksikan.

Di Paris, Yufei mendapat pingat perak menerusi acara 4x100m rampaian campuran serta lima pingat perak dari acara 50m gaya bebas, 100 dan 200m gaya kupu-kupu serta 4x100m dan 4x200m rampaian gaya bebas.