BERAKSI lincah di Sukan Olimpik Paris pada usia 51 tahun, atlet papan selaju Great Britain, Andy Macdonald mengakui, pingat emas baginya ialah ‘keseronokan’ ketika beraksi dalam sukan itu, sebanyak mungkin.

Bersaing dengan pemain papan selaju yang lebih separuh usia muda dari usianya, Macdonald yang dilahirkan di Amerika Syarikat menamatkan cabaran di kedudukan ke-18 daripada 22 atlet pada pusingan awal.

Meskipun tanpa sebarang pingat diraih, dia menganggap pengalaman dilaluinya adalah yang terbaik seumur hidup.

“Saya tidak melihat langsung jumlah mata yang dipungut,” kata Macdonald, yang juga legenda papan selaju yang layak mewakili Britain selepas bapanya lahir di Luton.

“Saya terpaksa bertanya semasa sidang media, di kedudukan mana saya berada? Saya tidak datang untuk mengumpul mata.”

Andy gembira dapat membuatkan peminat ketawa.| FOTO AGENCY

Beraksi dalam pusingan keempat dan terakhir, Macdonald muncul dengan memakai helmet kuning terang, tidak membuang masa untuk menghiburkan penonton.

Dia terjatuh ketika melayang keluar dari “bowl” pada cubaan pertama tetapi mendarat dengan balik kurang yang sempurna di akhir percubaan kedua sehingga membuatkan penonton teruja.

Macdonald berkata gerakan luar biasa itu adalah ‘bukan untuk meraih mata’, tetapi untuk keseronokan.

Andy bersama cenderamata Temasya Paris. | FOTO AGENCY

“Saya buat gerakan itu untuk penonton. Saya cuba menunjukkan bahawa ini adalah keseronokan tidak kira berapa usia kita.

“Ia menjadi aksi paling santai, paling menyeronokkan dan paling inklusif yang boleh anda lakukan.”

Macdonald beraksi secara profesional selama beberapa dekad dan bahkan mempunyai permainan video sendiri yang dilancarkan pada tahun 2000.

Dia memenangi pelbagai pertandingan tetapi papan selaju hanya dimasukkan dalam Olimpik pada Tokyo 2020.

Keefer Wilson dari Australia, yang layak ke final di tempat kelima, berkata, Macdonald adalah legenda baginya.