BABAK kemenangan Letsile Tebogo ketika menidakkan status Raja Pecut Noah Lyles di Paris dipalit berita menggemparkan apabila jaguh Amerika Syarikat (AS) itu mengaku positif Covid-19.
Lyles yang memerlukan bantuan perubatan selepas perlumbaan 200 meter (m) gara-gara situasinya bagaikan sesak nafas, dibawa meninggalkan trek menggunakan kerusi roda.
Ahad lalu, Lyles memenangi acara 100m, dan gangsa acara 200m itu, seakan pasti tidak dapat diturunkan bagi membantu AS dalam acara 4x100m, berikutan proses pemulihan dan mengembalikan semangat, akan memakan masa.
Dia yang memakan penutup muka memberitahu media berkenaan masalah dihadapinya itu.
“Sudah tentu ia memberi kesan kepada perstasi saya. Saya perlu lebih kerap menarik nafas… sejujurnya saya lebih berbangga dengan diri saya.
“Berlari dalam keadaan ini dan meraih perak bersama covid yang dialami sejak tiga hari lalu, ini sememangnya Olimpik yang ‘gila’ buat saya,” kata Lyles.
Pendedahan Lyles itu bagaimanapun menimbulkan riak wajah tidak selesa petugas media dan pegawai trek AS yang mungkin bimbang dijangkiti, namun suasana di Stade de France tetap riuh rendah dengan sorakan penonton, apabila Sydney McLaughlin Levrone merakam rekod dunia baharu dalam acara 400m berpagar wanita.
Begitupun, situasi dialami Lyles itu tidak disenangi pemenang pingat emas 200m, Tebogo dari Botswatana dan juga rakan senegara Lyles, Kenny Bednarek yang memenangi pingat perak acara itu, kerana bimbang dijangkiti.
“Saya tidak kira. Apa juga berlaku jika saya sakit atau sebagainya, saya akan kekal kelihatan seperti biasa.
“Jika dia sakit atau berasa seram sejuk atau… saya tidak nampak ianya sebagai masalah besar.
“Saya sihat dan akan melakukan apa juga perkara untuk memastikan badan saya sihat,” kata Bednarek.
Mengikut perancangan awal, Lyles akan berlari sebagai pelari terakhir kuartet 4x100m AS yang dijangka berlangsung esok. -Agensi