HARAPAN besar rakyat Malaysia bagaikan direnggut, apabila jaguh  berbasikal pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan perlumbaan apabila didakwa melakukan kesalahan teknikal pada saringan satu, pusingan pertama keirin.

Pelumba berusia 36 tahun itu yang berlumba dengan Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda), Jaor Tjon En Fa (Suriname) baru memulakan henjutan ketika derny meninggalkan trek, namun perlumbaan itu segera dihentikan.

Posisi Datuk Azizulhasni Awang, yang menjadi kesalahan hingga dibatalkan penyertaan. |FOTO MOM

Azizulhasni didakwa memintas derny sebelum garisan permulaan yang dibenarkan, sekali gus dia dibatalkan dan disingkir dari perlumbaan yang dilakukan semula.

Berdasarkan senarai pelumba pada pusingan repechages, nama Azizulhasni tidak tersenarai, bermakna dia tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Datuk Azizulhasni Awang menceritakan situasinya kepada Mohamad Shah Firdaus Sahrom, selepas dibatalkan penyertaan. | FOTO MOM

Sementara pada saringan 5, Mohammad Shah Firdaus Sahrom berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga namun diturunkan ke tempat keenam, dipercayai disebabkan mengasak Nicholas Paul dari Trinadad & Tobago.

Shah Firdaus berlumba bersama Cristian David Ortega Fontalvo dari Colombia, Vasilijus Lendel (Lithuania), Sam Daikin (New Zealand), Mateusz Rudyk (Poland) dan Nicholas.

Shah Firdaus diletakkan dalam saingan ketiga, repechages yang dijangka berlangsung jam 1.21 pagi ini.