WIRA berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal menepati sasaran untuk membawa pulang pingat ke Malaysia apabila dia ditimpa kemalangan dalam acara final keirin di Sukan Olimpik 2024, sebentar tadi.
Anak jati dari Muar, Johor itu dilihat sudah berada di posisi nombor tiga dalam pusingan terakhir perlumbaan (final lap) namun, insiden yang tercetus melibatkan pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Jack Carlin (Great Britain) telah membuatkan Shah Firdaus jatuh terseret sebelum tiba di garisan penamat.
Saingan di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome itu sekali gus menyaksikan Shah Firdaus terpaksa menduduki tempat keenam (terakhir) dan sah disingkirkan dalam perlumbaan akhir keirin tersebut.
Biarpun Shah Firdaus menduduki tangga terakhir, setidaknya dia berjaya mendaki segala laluan getir sebelum membenarkan dirinya beraksi di pentas akhir keirin, pada Ahad.
Hari ini (Ahad) juga merupakan hari terakhir Kejohanan Olimpik Paris 2024. Terlalu banyak memori pahit dan manis sepanjang temasya ini berlangsung, serta pastinya kontinjen Malaysia sudah memberikan lebih 100 peratus komitmen di Paris ini.
Dan Malaysia menutup tirai Olimpik Paris hanya dengan dua pingat gangsa yang diraih menerusi beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki Lee Zii Jia. Terima kasih wira-wira negara!