KEHADIRAN lebih 5,000 penyokong di Stadium Bandaraya Pulau Pinang menyaksikan pertembungan derbi utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) mendapat pujian kedua-dua jurulatih.
Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak memuji suasana di Stadium Bandaraya yang dilihat banyak menaikkan semangat kedua-dua pasukan dan dia turut berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
“Hari ini saya kembali menggunakan ‘back four’ selepas kegagalan dalam perlawanan lepas dan saya berpuas hati dengan usaha pemain saya yang mengikuti arahan taktikal yang diberikan”.
Menjawab soalan mengenai prestasi Ronald Ngah Wanja, Aidil berharap agar media dan penyokong tidak menyiarkan berita-berita negatif sebelum perlawanan dan sentiasa faham bahawa bola sepak itu adalah proses.
“Tajuk-tajuk di akhbar dan portal-portal sering memberikan ulasan negatif tentang pemain dan pasukan saya. Skuad Kedah ini adalah pasukan yang baharu dibentuk dan Ngah Wanja perlukan lebih masa untuk menyesuaikan dirinya dan semua penyokong harus percaya tentang proses ini,” jelas Aidil selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Penang FC, Tomas Trucha juga senada dengan Aidil Shahrin mengenai kehadiran penyokong yang memberika atmosfera yang hebat dan membantu pasukan memberikan aksi yang terbaik di atas padang.
“Kami meminta maaf kepada para penyokong yang hadir kerana gagal memenangi perlawanan Derbi Utara ini. Kami juga kecewa dengan keputusan ini kerana kita telah mendahului terlebih dahulu.
“Sukar untuk bermain tanpa tiga tonggak utama kami yang cedera. Kami bercakap di bilik persalinan dan kami akan memastikan kesilapan seperti ini tidak akan dilakukan lagi dalam usaha kami memburu kemenangan sulung musim ini,” katanya.
Skuad Kenari akan terbang ke Sabah untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan jika menang berpeluang untuk memintas JDT di tangga teratas liga manakala Penang FC pula akan ke Kuantan bertemu Sri Pahang dengan kedua-dua pasukan masih belum merasai nikmat kemenangan dalam liga musim ini.