PERHATIAN khusus terhadap sukan kurang popular akan diberikan kerana peluang memenangi pingat di Sukan Olimpik, dilihat lebih terbuka.
Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, banyak pingat ditawarkan dalam acara sukan yang bukan “mainstream” sekali gus boleh menjadi peluang buat kontinjen negara menuai pingat di Sukan Olimpik akan datang.
Selepas berakhir Olimpik Paris 2024, MSN mendapati sukan baharu yang dipertandingkan seperti meluncur papan selaju, memanjat dinding (wall climbing) dan meluncur ombak menawarkan banyak pingat yang langsung tidak direbut kontinjen negara.
“Di Paris 2024 ini, kita dapat banyak pengalaman sama ada pengalaman berharga, pahit mahu pun pengalaman kurang baik. Namun kita akan guna semua pengalaman ini untuk kita bawa ke hadapan.
“Kami di MSN akan cuba membangunkan sukan baharu, seperti kita lihat, banyak negara baharu yang memenangi pingat dalam sukan baharu seperti papan selaju, ‘climbing’ dan ‘surfing’, untuk melihat potensi sukan berkenaan yang mungkin kita boleh cungkil di Malaysia,” kata Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dalam sidang media bersama ketua kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Untuk rekod, sukan-sukan terbabit bukanlah asing di negara ini, malah fasiliti terutamanya tempat bermain papan selaju dan memanjat dinding telah lama dibangunkan, namun ditinggalkan hanya untuk kegiatan sosial dan komersil.
Malah negara jiran, Indonesia yang terlepas pingat tradisi dalam sukan badminton, lega apabila berjaya mencuri satu pingat emas dalam memanjat dinding dan sukan yang telah berada dalam program Olimpik itu, langsung tidak diberi penekanan oleh pihak berwajib di negara ini, berbanding fokus kepada e-sukan.
Kontinjen Malaysia yang disertai 26 atlet menutup tirai edisi Paris 2024 dengan meraih dua pingat gangsa menerusi sukan badminton dan menduduki tangga ke-80 daripada 206 negara.
Bagi edisi kali ini, Malaysia menyertai sembilan jenis sukan iaitu renang, terjun, badminton, berbasikal, menembak, memanah, pelayaran, golf, angkat berat dan olahraga.
Dalam pada itu, Rashid turut menyedari bahawa penekanan terhadap sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan perlu diperkasakan dalam usaha mengetengahkan lebih ramai lagi bakat berpotensi ke temasya berkenaan.
“Kalau kita lihat, kita hampir memenangi pingat menerusi Aniq Kasdan dan ini adalah satu perkara baharu yang timbul dalam sukan negara kita iaitu sukan angkat berat yang berjaya sehingga ke tahap ini di Sukan Olimpik.
“Kita merasakan ramai lagi bakat berpotensi bagi sukan tertentu yang berada di bawah, boleh diketengahkan selepas ini.
“Kalau kita lihat, negara jiran sudah berada di hadapan dengan sukan seperti angkat berat, taekwondo dan gimnastik. Rasanya, kita mempunyai bakat untuk diketengahkan selepas ini,” kata Rashid yang dalam sama menegaskan pihaknya turut akan meneruskan pelaksanaan program yang sudah dilakukan sebelum ini.
Begitupun, antara tindakan proaktif MSN adalah program Fast Track untuk sukan Olimpik 2028 yang telah bermula membabitkan sukan skuasy dan terjun.