AKTOR Amerika Syarikat, Tom Cruise muncul di Stade de France dengan aksi seorang wira dalam Mission Imposible, membawa misi ‘merampas’ bendera Olimpik untuk dibawa pulang ke Los Angeles, menandakan berakhirnya hak penganjuran Paris 2024.

Maka bermulalah rangka kerja ‘Hollywood’ menyiapkan skrip untuk menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia terbaik pada tahun 2028.

Bagi kontinjen negara, keupayaan membawa pulang dua pingat gangsa tetap satu kejayaan, meskipun berada di kedudukan ke-80 daripada 206 kontinjen bertanding.

Tom Cruise tampil pada majlis penutup Olimpik Paris, sebagai simbolik kepada wakil tuan rumah Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Dalam keterujaan peminat yang mahukan pingat emas pertama diraih pada temasya kali ini, sudah tentu pelbagai reaksi dizahirkan, kecewa, tidak berpuas hati mahupun gembira, kontinjen negara yang terdiri daripada 26 atlet bertanding, boleh dianggap lulus kerana berjaya mengekalkan prestasi membawa pulang pingat tanpa gagal sejak Temasya Beijing 2008.

Kredit harus diberikan kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana berjaya mengulangi pencapaian di Tokyo, manakala Lee Zii jia pula memenanginya buat kali pertama.

Tidak ketinggalan prestasi semua atlet yang bertanding, terutamanya yang berjaya meletakkan penanda aras baharu dengan memecah rekod kebangsaan dan sebagainya.

Namun dengan sasaran 1 pingat emas dilaungkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, secara objektif kontinjen kali ini gagal mencapainya.

Kegagalan ini bukanlah menjurus atau fokus kepada atlet tertentu sahaja, tetapi kontinjen secara keseluruhan.

Pilihan jumlah prospek emas yang disasarkan terlalu kecil, sekali gus menjadikan peluang untuk memenangi pingat emas pertama negara di Temasya Olimpik Paris, sangat tipis.

Malah harapan terakhir disandarkan pada Datuk Azizulhasni Awang pula, berakhir tragedi, bagaikan ayam ditambat disambar elang, padi ditangan tumbuhnya lalang.

Tidaklah mahu menjadi seperti rumah siap pahat masih berbunyi, namun, kalau ada asap tentu ada apinya.
Persiapan awal ke Paris bermula dengan canggung, pertelagahan atlet dengan badan pengurusan sukan, sehinggalah wujudnya program Road to Gold (RTG) yang kriterianya meragukan.

Belum lagi kisah pakaian rasmi kontinjen dan akreditasi, lebih mencuri tumpuan berbanding keutamaan atlet yang perlu dibimbangkan.

Lebih mengecewakan, rangkuman rumusan penyertaan kontinjen Malaysia di Temasya sukan Olimpik Paris 2024 oleh Chef de Mission (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hanyalah sebuah laporan penyertaan enam muka surat.

Bilangan muka surat sahaja tidak menggambarkan satu rumusan dibuat, malah rumusan prestasi dan pencapaian juga tidak tercatat.

Kontinjen Malaysia pada majlis penutup Sukan Olimpik 2024, Paris

Temasya sebesar Olimpik terasa bagaikan sukan muhibah taman perumahan, tanpa mempedulikan pencapaian, mengabaikan matlamat dan tujuan.

Tiada langsung pengakuan dirakam sama ada sasaran ditetapkan telah tercapai apatah lagi memohon maaf kepada peminat sukan, atas kegagalan membawa pulang pingat emas yang dijanjikan.