PAHIT getir yang dilalui seorang jaguh muda berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom di temasya Olimpik Paris 2024 pastinya menzahirkan pelbagai emosi, terutama di kalangan rakyat Malaysia.

Shah Firdaus yang cuba menghampiri pingat gangsa pada acara final keirin semalam (Ahad) tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam satu insiden berpunca daripada pelumba Jepun, Shinji Nakano.

Meskipun kecewa dan berat untuk menelan peristiwa yang berlaku, Shah Firdaus akui bahawa sebagai seorang Muslim, dirinya terpaksa akur dengan segala takdir yang telah ditetapkan untuknya.

Shah Firdaus terpaksa redha dengan keputusan final keirin.

Dalam masa yang sama, pelumba berusia 26 tahun itu menggesa rakyat Malaysia dan pencinta sukan tanah air untuk tidak mencampur adukkan masalah di dalam gelanggang dengan isu peribadi malah emosi.

Ia kerana selepas insiden berkenaan, akaun Instagram milik pelumba Jepun telah dipenuhi kata-kata negatif dan kecaman daripada netizen Malaysia yang mengungkapkan rasa tidak puas hati akan cubaan ‘sabotaj’ yang dilakukan pada Shah Firdaus.

“Terkelu, tergamam, dan mungkin berbagai reaksi yang ada daripada semua yang menyaksikan aksi perlumbaan akhir Keirin semalam. Bagi saya, dunia rasanya terhenti seketika. Berat, payah, perit untuk saya hadam.

Aksi perlumbaan Shah Firdaus di Olimpik Paris.

“Rasanya seakan semua harapan, perit jerih, susah payah saya sejak hari pertama hancur lebur, sedangkan ia sudah terbuka luas untuk digapai. Pada situasi itu, sukar untuk saya rasionalkan semua yang berlaku. Namun, sebagai muslim kita perlu redha atas semua ketentuan. Kita merancang, Allah merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Suka juga untuk saya menggunakan platform ini untuk kita saling mengingatkan bahawa, kami sebagai atlet sangat menjaga nama baik negara Malaysia yang kita cintai ini daripada pelbagai aspek. Oleh itu, saya berharap warga Malaysia yang menyokong dan menonton acara-acara sukan, apatah lagi di pentas sebesar ini untuk turut menjaga nama baik negara.

“Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi. Negara kita negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga,” menurut Shah Firdaus menerusi hantaran di Instagram peribadinya.