SKUAD bola sepak Kontinjen Johor membuka tirai acara bola sepak Sukma XXI Sarawak dengan bergaya apabila meraih kemenangan 1-0 keatas juara bertahan, Terengganu di Stadium Tun Zaidi, Sibu.
Jaringan tunggal kapten pasukan, Aysar Hadi pada minit ke-61 cukup untuk memberikan tiga mata penuh untuk Johor sekaligus mendahului Kumpulan B yang turut diisi Sabah.
Johor yang diperkuatkan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim II dan III mempamerkan aksi meyakinkan meskipun diberikan tentangan hebat oleh Terengganu dibawah kendalian Subri Sulong.
Kemenangan ini pastinya memberikan keyakinan buat Johor yang akan bertemu Sabah pada Khamis untuk menempah tempat ke suku akhir dalam misi meraih ibu pingat emas Sukma kali ini.
Terengganu pula pastinya akan menjadikan perlawanan terakhir juga menentang Sabah pada Sabtu sebagai medan kebangkitan bagi memastikan mereka dapat masih dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Kuala Lumpur pada 2022.
Dalam perlawanan Kumpulan A pada Isnin, Selangor berjaya menewaskan Negeri Sembilan di gelanggang yang sama dan akan berhadapan Kelantan pada Jumaat untuk menentukan tempat ke suku akhir.
Acara bola sepak Sukma akan berlangsung dari 12 Ogos hingga 24 Ogos dengan Kluster Mukah akan menjadi gelanggang perlawanan akhir.