CHEF de Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui dendam untuk mendapatkan pingat emas pertama negara masih membara dan dia mahu persiapan awal dilakukan semua pihak untuk merealisasikan impian itu di Temasya Los Angeles 2028.
Hamidin yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris turut mengakui beliau masih mempunyai dendam yang membara untuk melihat Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas walaupun tidak berjaya melakukannya di Paris sebagai ketua kontinjen.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai CDM, pertama kita kena fokus sukan apa yang kita nak dan kita tidak boleh kejar semua sukan untuk dapatkan emas dan persiapan perlu bermula daripada sekarang dengan semua pihak termasuk persatuan, MSN dan atlet sendiri dan jika perkara ini terjadi ada harapan emas buat kita di LA.
“Sebagai CDM, sudah tentu kita mahukan emas dan kita berusaha ke arah itu tetapi gagal dan dendam itu membara untuk LA 2028 bagi memastikan Malaysia mendapat emas dalam pertandingan sukan paling elit di dunia.
“Bukan hanya Kementerian dan Persatuan Sukan sahaja tetapi atlet juga perlu melakukan pengorbanan tetapi semuanya mesti bermula daripada sekarang dan Malaysia perlu kenal pasti sukan yang berpotensi berikan pingat emas,” katanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut menyatakan bahawa atlet-atlet yang bertanding di Paris menunjukkan prestasi yang baik namun kita masih perlu bersikap realistik.
“Sebahagian besar atlet kita menunjukkan peningkatan prestasi dalam sukan seperti badminton dan angkat berat yang mana ianya satu perkara yang bagus ditambah dua pingat gangsa berjaya dibawa balik.
“Kita perlu berpijak di bumi yang nyata sebagai contoh, badminton tidak ada seorang pun pemain kita yang berada pada ranking nombor satu atau nombor dua tetapi mereka telah melepasi prestasi mereka sebelum ke Olimpik.
“Perkara seperti ini semua kita perlu lihat dan jika mereka ini berada pada ranking pertama dunia dan tidak mendapat pingat emas, itu lain,” jelasnya.
Malaysia menutup kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa dari sukan badminton tetapi tidak berjaya mendapatkan emas pertama namun Datuk Hamidin menganggap ianya bukan kegagalan tetapi sesuatu yang perlu diperbaiki menjelang LA 2028.