ATLET golf kebangsaan, Ashley Lau berasa bangga apabila dipilih untuk menyalakan obor ketika acara pembukaan rasmi kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak.
Ashley yang baru menamatkan aksi di Sukan Olimpik Paris mahu pulang terus ke Amerika Syarikat tetapi memutuskan untuk ke Kuching bagi memenuhi undangan Kerajaan Negeri Sarawak yang mahukan dia sebagai penyala obor.
Gadis yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu mengakui dia sangat berbesar hati dengan pelawaan itu dan sebagai anak Sarawak, ini adalah satu penghormatan buat dirinya sebagai atlet.
“Saya akan menjadi penyala obor di Sukma Sarawak dan atas sebab itu saya kembali dahulu ke Malaysia sebelum saya pulang ke Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu.
“Apabila saya menerima surat pelawaan, saya berasa sangat bangga untuk menjadi penyala obor kerana saya sendiri bermula dari Sukma dan mahu menjadi sebahagian daripadanya buat terakhir kali.
“Tidak ada yang lebih membanggakan apabila dipilih sebagai penyala obor di tanah tumpah darah sendiri, saya sangat teruja dengan pengalaman ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.
Ashley yang pertama kali beraksi di Olimpik sudah pasti akan menjadi suri teladan dan pemangkin semangat buat semua atlet yang bersaing di Sukma untuk menjadi atlet terbaik bagi mewakili Malaysia pada masa akan datang.
Sukma 2024 akan membuka tirai pada 17 Ogos di Stadium Sarawak, Kuching dengan 488 acara dari 37 sukan dipertandingkan di sembilan kluster di seluruh Sarawak.