KEGAGALAN pemain Perak FC mengambil kesempatan menjaringkan di babak pertama menjadi penyebab kekalahan dua jaringan tanpa balas di tangan pasukan PDRM FC di Cheras pada Ahad.
Ia diakui oleh jurulatih The Bos Gaurus, Yusri Che Lah yang melihat anak buahnya lebih mendominasi sepanjang perlawanan Liga Premier itu.
“Kita selalu ketinggalan jaringan dari pihak lawan dan terperangkap gerakan set piece.
“Peluang untuk menyamakan kedudukan tidak berjaya dengan gol serangan balas lawan PDRM,” katanya selepas perlawanan kepada pemberita.
Gandingan kesemua tiga pemain import, Stipe Plazibat, Luciano Guaycochea dan Sunday Kolawole Afolabi yang diturunkan dalam kesebelasan utama juga dilihat tidak memberikan impak buat Perak FC.
Kekalahan itu memastikan Perak masih terperosok di dasar liga dan gagal mengutip sebarang mata selepas bermain 11 perlawanan.
Perlawanan penting seterusnya akan diharungi skuad Kejor Yop Skor adalah melayan kunjungan Terengganu FC II di Ipoh pada 16 Julai sebelum bertemu Selangor FC II di Shah Alam, 26 Julai.