RATU terjun kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri mengakui dia tidak merasai sebarang penyesalan dalam penyertaannya di Sukan Olimpik Paris 2024 meskipun menduduki tangga ke-12 dalam acara 3m papan anjal wanita.
Baginya, hanya masa yang menjadi pemisah antara kejayaan di temasya kali ini kerana dia hanya menyertai Sukan Olimpik pada saat-saat terakhir dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan persiapan secukupnya.
Sebagai olimpian sebanyak tiga kali, dia merasakan puas dalam kesemua temasya yang disertainya dan meskipun kali ini keputusan tidak memihak kepadanya, namun dia dan jurulatihnya tetap gembira dengan persembahan yang ditunjukkan.
“Saya merasa sangat bagus kerana dari pada awalnya saya sudah tidak mahu terjun hingga layak ke final dan ditambah dengan kem latihan yang singkat, saya rasakan ianya sesuatu yang cukup bagus.
“Dari tiga Olimpik, semuanya saya berpuas hati walaupun kali ini ianya bukanlah keputusan yang kita mahukan, tetapi saya dan jurulatih gembira dan tidak ada penyesalan kerana kita sudah berikan yang terbaik.
“Sememangnya tidak ada penyesalan meskipun banyak perkara boleh diperbaiki tetapi masa adalah musuh utama saya kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.
Dhabitah juga menolak tekanan yang diberikan peminat di media sosial memberikan tekanan kepada dirinya tetapi dia menyatakan, tekanan itu datang dari dirinya sendiri yang mahukan menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Dalam aksi final di Paris, Dhabitah menamatkan saingan final di tangga ke-12 dengan catatan 244.80 mata dari lima terjunan dalam acara yang dimenangi penerjun China, Chen Yiwen.