PENERJUN lelaki negara, Bertrand Rhodict mengakui sehingga kini dia masih memikirkan apakah kesalahan dan apa yang perlu diperbaiki ketika aksi debutnya dalam acara 10m Platform Lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia yang ditemui ketika sesi sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris turut mengakui dia gagal mengawal rasa gugup ketika beraksi kerana tahap Sukan Olimpik yang begitu besar.

Anak kelahiran Sarawak itu turut menjelaskan bahawa dia hampir kehilangan dirinya sebelum ke Paris tetapi bantuan yang diterima menerusi Program Road To Gold (RTG), banyak membantunya mengatasi masalah itu.

Aksi Rhodict ketika di Paris

“Sehingga kini, saya masih memikirkan apa kesalahan yang dilakukan dan apa perkara yang saya boleh kawal kerana sebelum ini saya menyertai banyak kejohanan yang mana saya dapat mengawal rasa gugup tetapi di Olimpik segalanya berbeza namun saya tetap menganggap ini adalah pengalaman yang berharga buat saya.

“Sejujurnya saya menerima sokongan yang sangat baik dari semua pihak tetapi saya berharap saya dapat menjumpai diri saya kerana saya seolah-olah hilang dan tidak tahu apa yang saya patut lakukan tetapi nasib baik menjelang Olimpik saya kembali menemui diri saya,” katanya.

Rhodict berkata dia kini memerlukan rehat yang mencukupi selepas menjalani latihan intensif serta cuba mencari semula minat dan cintanya terhadap sukan terjun ini.

Rhodict ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

“Selepas ini saya akan berehat seketika dan cuba mencari kembali diri saya dan kecintaan saya terhadap sukan ini kerana saya perlukan rehat selepas menguji diri sebagai persiapan untuk ke Sukan Olimpik ini,” jelasnya.

Di Paris, Rhodict menamatkan saingan 10m Platform di tangga ke-25 dari 26 peserta yang mengambil bahagian dengan catatan mata 313.70 selepas enam terjunan yang menyaksikan penerjun China, Cao Yuan memenangi pingat emas.