JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelaskan beliau masih memerlukan masa untuk mempertimbang semula sama ada akan meneruskan kariernya dan beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 ataupun bersara.
Pelumba yang diberi gelaran The Pocket Rocketman itu memberitahu beliau perlu duduk bersama ahli keluarganya dan berbincang sebelum membuat keputusan mengenai perkara tersebut meskipun telah dipujuk oleh jurulatih dan rakan-rakan sepasukannya untuk kekal beraksi.
Azizulhasni yang ditemui dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris juga meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak berjaya memberikan pingat emas pertama yang dipertaruhkan kepadanya.
“Selepas perlumbaan John dan Shah Firdaus serta pasukan harap saya boleh pertimbang untuk beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028, tetapi saya perlu duduk bersama keluarga dan tenangkan fikiran terlebih dahulu.
“Sebab apa yang berlaku di Paris adalah sesuatu yang tidak biasa dalam karier saya, tapi pada saya mereka tahu kalau saya berhenti berlumba saya akan tetap aktif dalam sukan, paling penting kalau mereka perlu bantuan saya, saya akan bantu.
“Saya juga ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana saya tidak berjaya membawa pulang pingat emas yang diinginkan. Saya juga masih memerlukan waktu untuk menghadam perkara ini tetapi sebagai seorang Muslim, saya harus berdamai dengan takdir,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan menyokong apa sahaja keputusan yang akan dibuat pelumba berusia 36 tahun itu dan akan tetap menyokong keperluannya.
“Saya telah berbincang dengan Azizul dan saya meminta dia mengambil masa berbincang dengan keluarga dahulu dan Jawatankuasa RTG akan menyokong keputusannya selagi dia mahu berlawan dan selagi badan dia boleh berlumba, kita akan beri sokongan, jadi beri masa untuk dia berfikir,” jelasnya.
Azizulhasni terpaksa menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 seawal pusingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan kerana didapati memintas derny sebelum ia meninggalkan trek.
Pembatalan ini sekali gus meleburkan impian negara untuk menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Olimpik yang mana Temasya Paris ini sepatutnya menjadi penampilan terakhir Azizul di temasya berprestij itu.