PELUMBA basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui semangat yang ada pada dirinya untuk bersaing bersama-sama atlet terkemuka di Sukan Olimpik Paris 2024 adalah hasil suasana positif yang ada di persekitaran ketika kejohanan berlangsung.
Izzah yang menyertai acara pecut pada kemunculan pertamanya di Olimpik mahu terus memperbaiki dirinya dan berharap ini bukanlah temasya terakhirnya dan mahu layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Tambah manis, Izzah berjaya memecahkan rekod kebangsaan selepas mencatat masa 10.709 saat di pusingan kelayakan yang mengatasi rekod miliknya sendiri 10.903 saat ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) Nilai, pada 2023.
“Ini adalah Olimpik pertama saya dan tidak pernah menyangka akan layak ke temasya terbesar ini. Saya gembira dengan persembahan saya dan dapat pecahkan rekod kebangsaan tetapi saya sedar perjalanan masih panjang dan banyak lagi yang saya perlu belajar dalam sukan ini.
“Kenangan paling menarik bagi saya adalah dapat pecahkan rekod kebangsaan tetapi bagi saya fikir suasana positif di sekitar saya ketika Olimpik ini buatkan saya lebih bersemangat untuk bersaing dengan atlet yang lain tetapi saya masih perlukan masa dan yakin akan jadi lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.
Gadis kelahiran Kedah itu juga bersimpati dengan nasib yang melanda dua pelumba keirin lelaki selepas kedua-dua mereka tidak berjaya menjelmakan emas pertama buat negara namun dia mahu menjadikan perkara itu sebagai semangat buat dirinya menjadi pelumba yang lebih baik.
“Saya turut tumpang simpati atas apa yang berlaku pada Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus kerana kita nampak mereka benar-benar mahukan pingat emas buat negara.
“Kita dapat lihat semua atlet berjuang dan bersaing untuk dapatkan pingat dan ini akan jadi pembakar semangat buat saya untuk terus maju pada masa hadapan dan harap ini bukanlah Olimpik terakhir saya,” jelasnya.
Izzah menamatkan perjalanan Olimpik Paris di peringkat repechages pusingan 1/32 selepas dia tidak berjaya memintas pelumba Kanada, Lauriane Genest sekali gus menafikan hasratnya untuk mara lebih jauh dalam acara pecut individu wanita.