KURANG berdisiplin dan hilang tumpuan antara penyebab kegagalan Sabah FC meraih mata dalam pertemuan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Tambah buruk, skuad asuhan Datuk Ong Kim Swee terpaksa menelan kekalahan kedua musim ini yang sebelum itu cemerlang mencipta tiga kemenangan tanpa henti.

Malah, kedudukan kedua liga yang diduduki kembali dirampas Kedah Darul Aman FC dengan bangkit menumpaskan Penang FC di Stadium Bandaraya.

“Kesilapan dan kelalaian kita sendiri dan bukannya faktor pemain lawan tunjuk permainan lebih baik. Hilangnya konsentrasi di babak pertama dan kami dihukum gol Kuala Lumpur.

Foto: Sabah FC

“Namun, pada separuh masa kedua kita mendapat banyak peluang tapi tak dapat disudahkan pemain. Bukan Kuala Lumpur tunjuk permainan lebih baik tetapi dalam bola sepak apabila kita berdisiplin, miliki percaturan taktikal  yang baik dan ini akan berlaku.

“Pemain perlu bangkit untuk menghadapi perlawanan yang lebih penting,” kata Kim Swee selepas perlawanan.

Beliau akui kemasukan Amri Yahyah menambah kekuatan sebelah kanan Sabah FC dan menghasilkan impak berlainan pada 45 minit permainan di babak kedua.

“Selain itu, hanya ada satu atau dua peluang Kuala Lumpur ditepis oleh Khairul Fahmi (Che Mat) dan yang membuatkan lawan lebih baik adalah jaringan yang mereka perolehi,” katanya.