JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou tidak berani menjanjikan pingat emas buat Malaysia namun dirinya akan cuba 100 peratus pada temasya Paralimpik Paris yang akan bermula hujung bulan ini.

Liek Hou yang pernah menjuarai badminton edisi Paralimpik Tokyo 2020 akan berentap dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), sekali gus berhasrat untuk mempertahankan pingat emas meskipun sedar akan cabaran besar yang akan dilalui nanti.

Menurut atlet berusia 36 tahun itu, rakan senegara yang juga akan beraksi di saingan sama iaitu Muhammad Fareez Anuar tidak mustahil menjadi salah seorang musuh utamanya bagi mendapatkan pingat emas kedua berturut-turut dalam temasya Paralimpik.

Liek Hou ketika menjalani sesi latihan pada petang Rabu.

“Pencabar saya nanti bukan sahaja dari Taiwan mahupun Indonesia. Tetapi Fareez juga adalah saingan utama saya kerana kami berlatih bersama setiap hari dan mesti dia lebih faham permainan saya daripada atlet lain.

“Jadi saya harus berwaspada dan berhati-hati dengan dia, juga setiap pemain di Paris nanti. Tetapi jika ditakdirksn kami berdua ke final, siapa sahaja yang menang tetap saya berasa bangga.

“Ini kerana, saya juga berharap agar Fareez boleh ganti posisi saya satu hari nanti. Jadi perlawanan nanti perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk dia meningkatkan prestasi kecemerlangan semasa,” ujar Liek Hou ketika ditemui pada petang Rabu.

Lawatan CDM ke venue latihan badminton.

Dalam masa yang sama, Liek Hou masih memandang ke sudut positif apabila mengenangkan bahawa dirinya mempunyai kelebihan dari segi pengalaman yang lebih banyak berbanding Fareez.

“Saya sudah pernah menang dan saya juga meraih lebih pengalaman berbanding pemain-pemain lain. Seperti Fareez, mungkin dia berasa agak bimbang kerana kekurangan pengalaman. Jadi, ini salah satu kelebihan buat saya untuk kawal tekanan,” tambah Liek Hou.

Untuk rekod, Liek Hou merupakan juara dunia sebanyak lapan kali. Tidak hanya itu, dia juga merupakan juara Sukan Para Asia 2010 dan 2014, Juara Sukan Para ASEAN 2011, 2017 dan 2022, Juara Kejohanan Asia 2012 dan juara Paralimpik Tokyo 2020.