PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyatakan sokongan penuh terhadap program Road To Gold (RTG) dan berharap program itu wajar diteruskan.

PKBM dalam satu kenyataan rasmi menegaskan RTG harus mempunyai kesinambungan demi memastikan atlet negara berupaya memberi saingan lebih kompetitif di peringkat tertinggi.

Timbalan Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan yang dicapai oleh barisan pelumba negara terdiri daripada Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Nurul Izzah Izzati menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada jangkaan mereka.

Amarjit  mahu Program RTG diteruskan 

“Jika kita fikirkan, selain daripada pembatalan yang mengejutkan Azizul atas alasan teknikal, prestasi Shah Firdaus dan Izzah melepasi tahap terbaik dan menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada jangkaan mereka. Malah Azizul turut mencatatkan masa terbaiknya semasa kelayakan pecut hingga ke suku akhir,” katanya.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, Shah Firdaus hampir memenangi pingat gangsa di Paris 2024 jika tidak berlaku kemalangan dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano di selekoh terakhir ketika saingan berbaki 50 meter (m).

“Tumpuan sentiasa pada Azizul tetapi Shah Firdaus juga membuktikan bahawa dia mempunyai kemampuan untuk menyerlah. Perhatikan dia dalam masa empat tahun lagi di Olimpik LA 2028 dan saya yakin dengan sokongan yang betul, dia pasti akan berjaya,” jelasnya.

Pelumba basikal trek negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Paris

Amarjit juga menjelaskan bahawa Izzah juga berada di prestasi terbaik apabila memecahkan rekod kebangsaan acara pecut dengan masa 10.709 saat, lebih pantas 0.3 saat daripada rekod sebelumnya dan dia memerlukan sokongan yang tidak berbelah bahagi di masa akan datang.

“Saya tidak menganggap ini sebagai kegagalan untuk berbasikal. Dalam beberapa cara, ia berjaya. Oleh itu, satu-satunya harapan saya adalah supaya program ini diteruskan tanpa perlu bimbang bahawa program ini akan dibatalkan atau diubah jika terdapat pentadbiran baharu, yang mana saya maklumkan kepada menteri sendiri,” tegasnya.

Amarjit juga turut berharap agar menteri dapat menglibatkan komiti dari persatuan sukan yang terlibat dalam Program RTG selepas ini bagi memastikan sinergi yang bagus antara kedua-dua pihak.