SKUAD wanita kebangsaan akan membuka kempen Piala AFF Wanita 2022 Kumpulan A apabila menentang Singapura di Stadium Memorial Rizal, Manila pada Isnin.
Pengendali skuad wanita negara, Jacob Joseph mengambil pendekatan merendah diri menjelang aksi pembukaan ini walaupun skuad negara mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding lawan.
Joseph juga sedar yang Singapura sudah melakukan persiapan lebih rapi namun tetap merasakan aksi kali ini sebagai tugasan penting buat pemain untuk mendapatkan rentak terbaik sekaligus mampu beri saingan kepada kuasa besar lain.
“Selepas pulang dari Bangladesh dimana kita bermain dua perlawanan Tier 1, kami teruskan persiapan. Saya dapat lihat Singapura sudah melakukan persiapan yang cukup baik dan mereka juga bermain beberapa persahabatan.
“Perlawanan ini pastinya bukan mudah tetapi ia akan menjadi detik penting buat kami. Kami harap kami mampu dapatkan keputusan yang baik khususnya dalam dua perlawanan awal,” katanya.
Sementara itu, pengendali Singapura, Stephen Ng juga senada dengan apa dikatakan pengendali negara dan tidak sabar untuk mendapatkan suntikan semangat pada penyertaan kali ini.
“Ia adalah aksi derbi yang menarik dan kami kekal positif untuk cuba dapatkan keputusan baik. Sudah pasti kami mahukan permulaan yang baik kerana Kumpulan A turut disertai pasukan yang hebat,” katanya.
Selepas Singapura, Malaysia akan menentang Indonesia pada 6 Julai diikuti Filipina 8 Julai, Thailand 10 Julai sebelum bertemu Australia pada 12 Julai untuk melengkapkan aksi peringkat kumpulan.