BAPA Lamine Yamal, Mounir Nasraoui, dilaporkan menjadi mangsa tikaman oleh seseorang di kota Mataro, Catalonia, Sepanyol, pada Rabu.

Media British Express melaporkan bahawa Mounir ditikam ketika berada di tempat letak kereta. Mounir kemudian segera dikejarkan ke Hospital Can Ruti dan keadaannya dikatakan serius menurut akhbar Sepanyol La Vanguardia.

Kejadian ini bermula dengan pergaduhan yang berlaku di kawasan parkir kereta dan mengakibatkan Mounir ditikam berkali-kali. Setakat ini tidak diketahui apakah motif pelaku melakukan serangan itu.

Polis di bandar Mataro telah pergi ke lokasi untuk menjalankan siasatan. Beberapa saksi dipercayai melihat kejadian tikaman bapa Lamine Yamal secara langsung dan mereka telah dikenal pasti bagi menentukan kronologi kejadian.

Lamine Yamal dan kelabnya Barcelona masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tikaman Mounir.

Yamal sendiri kini sedang fokus membuat persiapan bersama Barcelona menjelang musim baharu Liga Sepanyol. Yamal dan kawan-kawan akan menentang Valencia pada minggu pertama LaLiga.

Pemain berusia 17 tahun itu masuk sebagai pemain gantian ketika Barcelona bermain dalam Piala Joan Gamper pramusim. Malangnya, Barcelona tewas 0-3 kepada AS Monaco dalam perlawanan ini.

Dia bakal menjadi pemain yang akan mendapat perhatian ramai bersama Barcelona musim ini. Ini kerana prestasi hebat yang ditunjukkan Yamal ketika membantu pasukan kebangsaan Sepanyol memenangi Euro 2024.