TIDAK meletakkan sasaran tinggi menggunung, kem boccia negara tetap akan cuba mengharumkan nama Malaysia di sukan Paralimpik Paris 2024 dengan membawa muka-muka atlet baharu.
Ketua jurulatih, Aiman Hafizi Abu Bakar berkata, cukup dengan harapan untuk membawa pulang satu pingat dari Paris dan itu sudah menjayakan misi bagi menyambung delegasi yang ditinggalkan oleh bekas atlet, Chew Wei Lun.
Dengan usaha gigih yang dipamerkan oleh Wei Lun di Paralimpik Tokyo 2020, dia berhasil meraih pingat Perak dan juara boccia ketika itu disandang oleh atlet Britain, David Smith.
“Mereka merupakan atlet baharu, pengalaman juga baharu jadi sasaran kami tidaklah terlampau tinggi atau rendah.
“Kami akan cuba buat yang sebaik mungkin. Untuk makluman, edisi kali ini pun agak mencabar juga sebab kita kurang pendedahan dari segi bermain di Eropah. Kita hanya ada pengalaman dari segi Asia.
“Oleh itu, kita enggan sasarkan lebih banyak pingat atau sebagainya kerana dalam masa sama kita tak mahu atlet tertekan. Sekiranya atlet dahulu (bekas atlet) masih ada, itu mungkin kita boleh target pingat yang lebih atau emas,” kata jurulatih berkenaan ketika ditemui media.
Dalam perkembangan sama, salah seorang pemain Noor Askuzaimey Mat Salim yang akan bersaing dalam kategori individu dan berpasangan BC4 (pergerakan pasif atau kekurangan anggota badan) turut mendedahkan bahawa dirinya kini sedang fokus kepada latihan yang dijadualkan.
Enggan terdedah dengan sebarang tekanan juga merupakan keinginannya kerana lebih elok untuk menumpukan perhatian terhadap perlawanan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Perlawanan semakin dekat, saya cuba kawal diri saya untuk lebih tenang dan mendapatkan fikiran yang tidak terlampau tertekan,” ujar Askuzaimey.
Untuk rekod, Askuzaimey merupakan pemenang pingat emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 selain turut dibarisi pemain boccia lain, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan juga Lee Chee Hong (pemenang perak di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.