PEMAIN badminton para negara, Muhammad Ikhwan Ramli menyasarkan peluang untuk ke separuh akhir perseorangan lelaki kategori WH1 (berkerusi roda) di Sukan Paralimpik 2024.
Ikhwan yang memiliki nama panggilan ‘Kechik’ menyifatkan sasaran tersebut adalah satu permulaan terbaik dan cukup realistik memandangkan itu merupakan penampilan sulungnya di temasya berprestij Paralimpik.
“Saya agak gementar kerana ini kali pertama saya ke Sukan Paralimpik, sebelum ini memang agak bergelut untuk kutip mata dengan perlu pergi kejohanan berturut-turut, namun Alhamdulillah sasaran ke Paris 2024 tercapai.
“Saya tidak mahu beritahu sasaran sebenar sekarang, sebaliknya fokus ke separuh akhir dahulu. Insya Allah saya akan buat yang terbaik dan bawa sesuatu untuk rakyat Malaysia nanti,” katanya ketika ditemui pada pagi Rabu.
Selain beraksi dalam kategori perseorangan lelaki WH1, Ikhwan yang berada di ranking ketiga dunia itu turut dijadual beraksi dalam beregu WHI-WH2 (berkerusi roda) dengan gandingannya, Noor Azwan Noorlan.
Perebutan pingat di Paris nanti juga dijangka lebih sengit kerana perlu menghadapi cabaran daripada pemain China, Korea Selatan dan Jepun, serta perkara ini diakui sendiri oleh Noor Azwan.
“Contohnya di Korea Selatan, mereka memang banyak beregu, namun kami hanya ada dua, kadang-kadang perlu panggil pemain luar serta pemain kategori lain untuk jadi rakan sepelatih kami namun tidak sama corak permainannya,” tambah Noor Azwan.
Untuk rekod, pingat emas terakhir yang berjaya diraih oleh regu para badminton negara, Ikhwan-Noor Azlan adalah di Sukan Para Asean Kemboja tahun lalu, dalam acara beregu lelaki WH1/WH2 selepas menumbangkan gandingan Dunmern Junthong-Jakarin dari Thailand 14-21, 21-17, 21-9.